Tarikh: July 2, 2012
FELDA BUKIT MENDI - Generasi kedua Felda melahirkan rasa kecewa dengan cara Felda menguruskan penyerahan wang durian runtuh kepada peneroka.
Seorang anak peneroka, Roslan Abu Bakar berkata, dia bukannya tidak bersyukur dengan pemberian itu, tetapi mahu Felda lebih cekap menguruskan agihan tersebut.
Menurutnya, pemberian RM5,000 pertama yang diberikan kepada peneroka sudah diterima, namun cek itu diletakkan di atas nama arwah bapanya.
“Bapa saya sudah lima tahun meninggal dunia dan seharusnya Felda prihatin dengan perkara ini.
“Apabila ibu saya menerima cek itu, dia terpaksa melalui pelbagai proses untuk menukar semula cek tersebut,” katanya.
Roslan berkata, sepatutnya Felda mempunyai data lengkap mengenai peneroka supaya perkara seperti itu tidak berlaku kerana ia hanya menyusahkan pihak ketiga.
Katanya, dia kecewa apabila membuat urusan pertukaran cek, pihak pengurusan Felda meminta salinan kad pengenalan arwah bapanya.
“Saya terkejut dengan permintaan mereka. Bukankah sepatutnya mereka meminta salinan sijil kematian untuk mengesahkan perkara itu?
“Setahu saya, jika seseorang itu meninggal dunia, kad pengenalan tidak lagi berfungsi.
Saya tidak pasti apa tujuan mereka berbuat demikian,” katanya.
Menurutnya, dia bernasib baik kerana mereka sekeluarga masih menyimpan salinan kad pengenalan arwah bapanya dan menyerahkan kepada pihak pengurusan Felda bagi urusan pertukaran cek.
No comments:
Post a Comment